Arkib | Resipi RSS feed for this section

Sekitar Kursus Piza & Roti Sessi Oktober 2011

26 Nov

Pada 22 & 29 Oktober 2011 Kursus Piza & Roti yang pertama telah diadakan; dengan para peserta dari Daerah Muar dan Batu Pahat. Kursus Piza & Roti ini juga merupakam Kursus tajaan Kolej Kommuniti Cawangan Muar.  Kursus dua hari pada hujung minggu ini adalah merupakan modul pembelajaran Piza & Roti untuk 20 jam.

Perserta Kursus Piza & Roti sessi Oktober 2011 bersama Cikgu Salinah

  

Asas utama dalam pembuatan roti ialah memahami penggunaan bahan-bahan utama iaitu tepung roti ragi dan air bertindak antara satu sama lain: tiap satu bahan memerlukan yang lain untuk memperoleh roti yang baik. Dua lagi perkara utama dalam pembuatan roti ialah keperluan menguli untuk mendapatkan doh roti yang baik, dan fasa pemeraman sebagai teknik menaikkan doh roti oleh organisma hidup, iaitu ragi.

Cikgu Salinah menunjukkan cara membuat doh piza

Menyediakan doh piza menggunakan teknik yang sama seperti menyediakan doh roti, kerana ia juga merupakan sejenis roti. Untuk membuat doh piza yang enak dan rasa yang berbeza daripada roti biasa; kepada bahan asas doh roti iaitu tepong roti, ragi kering dan air yang mana ditambah dengan sedikit gula, garam; ia juga ditambah dengan minyak zaitun. Gula bukan sahaja memberi sedikit rasa manis tetapi ia juga menggalakkan pertumbuhan ragi terutamanya pada peringkat permulaan.  Garam sudah tentunya untuk menaikkan rasa makanan. Sementara minyak zaitun, disamping melembutkan doh, ia memberi rasa unik piza. Sedikit madu dan herba thyme boleh meningkatkan lagi rasa doh piza. Dalam menggunakan herba … sedikit sahaja sudah memadai. Ukuran yang boleh digunakan dalam resipi piza ialah: 500 gram tepong roti, 300 ml air yang sedikit suam, dua sudu teh ragi kering (10 gram) 1 sudu teh garam, 2 sudu teh gula dan 1 sudu besar minyak zaitun. Juga boleh ditambah dengan 1 sudu teh madu dan secubit herba thyme (atau 1/4 sudu teh).

Demo oleh Cikgu Salinah bagaimana mengadun dan menguli doh piza

Para perserta diingatkan supaya memulakan kerja mengadun dan menguli setelah semua bahan yang diperlukan telah siap ditimbang atau disukat. Untuk menyediakan doh piza umpamanya, setelah semua bahan tersedia barulah: (1) Satukan gula, air dan ragi kering, kacau sehingga rata. Biarkan selama 10 minit. Kemudian masukkan minyak zaitun, garam serta madu & herba thyme. Kacau rata. Ia sedia untuk digunakan. (2) Letakkan tepong roti terus ke atas meja kerja (sebaiknya keluli atau marmar. Ia boleh juga dibuat dalam manggkuk pengadun). Buat kawah ditengah tepong tadi.  Curah dengan perlahan kesemua campuran air & ragi tadi. (3) Adun tepung dan ragi secara perlahan dan sedikit demi sedikit. Adunan lama-lama menjadi pekat dan tidak melimpah keluar dari kawasan bertepung. Akhir sekali gaul semua tepung dan campuran ragi hingga rata. Sekiranya doh keras tambahkan sedikit air, dan jika doh terlalu lembik tambahkan sedikit tepung.(4) Uli lebih kurang 10 minit atau sehingga doh menjadi lembut tetapi kenyal  Doh sedia untuk diperap.

Peserta menguli doh piza

Peserta juga mendapati bahawa menguli doh memerlukan kesabaran. Ia mengambil masa jadi kena relak sahaja semasa membuat kerja. Dan sekiranya perlu menambah tepung perlu ditabur sedikit demi sedikit. Ini kerana dalam menyediakan doh piza atau roti, ia lebih baik menambah tepung daripada menambah air. Doh yang terkeras lebih sukar untuk dilembutkan dari doh yang terlembik.

Doh piza yang telah siap diuli dan sedia untuk diperap.

 Seperti roti, doh piza perlu diperap dalam jangka masa 1/2 ke 1 jam atau sehingga berganda saiznya. Perap dalam bekas yang sudah disapu minyak dan ditutup dengan tuala atau plastik pembalut. Bila sudah cukup naiknya, doh piza perlu dibuang angin dengan menumbuk sedikit, barulah doh sedia dibentuk leper bulat atau empat segi menjadi piza.

Aian dan rakan-rakan membentuk doh piza dan mengisi topping piza

Doh piza boleh dibentuk menjadi leper dan bulat dengan menggunakan ‘rolling pin’. Bila sudah terbentuk ia perlu dipindahkan ke dalam dulang pempakar yang telah disapu mentega/majerin. Topping piza dimulakan dengan sos tomato, dikuti dengan sayuran seperti tomato dan lada benggala serta isian pilihan seperti daging, sosej atau daging ayam; dan diakhiri dengan cheese yang telah disagat. Cheese pilihan utama untuk piza ialah jenis mozarella. Banyak dan sedikit topping adalah mengikut cita rasa dan budget yang ada. Walaubagaimanpun setengah bahan seperti lada benggala tidak perlu terlalu banyak kerana rasanya yang kuat. Sementara tomato pula kalau berlebihan akan menjadikan piza kita masam serta berair. Tomato dan lada benggala boleh disediakan dengan mengasingkan biji dari isi, serta dipotong dadu.

Piza dengan isian daging cincang sedia untuk dibakar

Selain piza peserta juga mempelajari beberapa jenis roti Mediterranean seperti grissini atau lebih dikenali sebagai ‘breadstick’, panettone dan focaccia.

Peserta menikmati keenakan roti Mediterranean focaccia

Pada hari ke dua, iatu hari Sabtu berikutnya: perserta didedahkan dengan pelbagai jenis roti, termasuklah roti berinti dan makanan berasas roti seperti donat dan pau.

Cikgu Salinah menunjukkan cara menyediakan roti berkaya pandan

Roti-roti lain yang turut dapat dipelajari ialah roti berkaya pandan, roti Perancis dan roti berkismis.
 

Roti berkaya pandan dan topping butter, gula & tepung, sudah sedia untuk dihidang.

Alhamdulillah, pembelajaran berjalan lancar sepanjang dua hari yang diperuntukkan. Sidang pengarang Sari Kata Suri sekali lagi mengucapkkan selamat maju jaya kepada semua.
 
 

Panettone, roti Mediterranean yang cantik dan manis

Hingga jumpa lagi,
Sari Kata Suri.
 
 
 
Advertisements